ISLAMIK

Cara-Cara Mandi Junub Yang Sebenarnya

Rukun mandi ada tiga perkara meliputi :

1. Niat dengan tujuan membezakan ibadat dan adat. Niat ini sekadar dilafazkan di dalam hati dan tidak perlu dilafazkan secara zahir (secara lisan)

2. Menghilangkan kotoran dan najis pada badan.

3. Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir termasuk segala lipatan-lipatan badan. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah)

Niat

Niat mandi wajib secara ringkasnya adalah “Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.”Niat itu hendaklah disertakan ketika air sampai ke bahagian anggota badan.

Untuk wanita yang mandi wajib kerana hadas haid, niat mandi wajib adalah “Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala.” manakala bagi wanita yang habis nifas, niat mandi wajib ialah “Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala”.

Niat mandi wajib hendaklah dilafazkan apabila mula terkena air kepada mana-mana bahagian anggota mandi. Sekiranya niat dilafazkan selepas dia telah membasuh anggota badannya, mandi wajibnya tidak sah dan dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya.

Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah dan dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya.

Orang yang tidak berniat mandi wajib tidak memenuhi rukun mandi wajib dan dengan itu tidak boleh dikatakan telah mengerjakan mandi wajib.

Dia hanya sekadar mengerjakan mandi biasa (mandi adat), dan masih terikat dengan larangan yang dikenakan ke atas orang yang berhadas besar.

Cara Mandi Wajib.

Mandi wajib hendaklah dikerjakan menggunakan menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan, dan tidak sah jika menggunakan air yang bukannya air mutlak.

Cara mandi wajib paling afdal sekiranya mengikut sunnah Rasulullah SAW. Berdasarkan hadis dari Aisyah ra.,

“Dahulu, jika Rasulullah SAW hendak mandi janabah (junub), baginda membasuh kedua tangannya. Kemudian menuangkan air dari tangan kanan ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya.

Lantas berwuduk sebagaimana berwuduk untuk solat. Lalu baginda mengambil air dan memasukkan jari-jemarinya ke pangkal rambut. Hingga baginda menganggap telah cukup, baginda tuangkan ke atas kepalanya sebanyak 3 kali tuangan. Setelah itu baginda guyur seluruh badannya. Kemudian baginda basuh kedua kakinya” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

Cara mandi wajib yang paling baik adalah mengikut cara yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi.

1. Membaca bismillah sambil berniat untuk mengangkat hadas besar .

2. Membasuh tangan sebanyak 3 kali.

3. Membasuh alat kelamin dari kotoran dan najis.

4. Mengambil wuduk sebagaimana biasa kecuali kaki. Kaki dibasuh selepas mandi nanti.

5.Membasuh keseluruhan rambut di kepala.

6. Membasuh kepala berserta dengan telinga sebanyak 3 kali dengan 3 kali menimba air.

7. Menjirus air ke seluruh bahagian badan di sebelah lambung kanan dari atas sampai ke bawah.

8. Menjirus lambung kiri dari atas sampai ke bawah.

9. Menggosok bahagian-bahagian yang sulit seperti pusat, ketiak, lutut dan lain-lain supaya terkena air.

10. Membasuh kaki.

Perhatian : Jika dia mandi dengan menggunakan “shower”, tidak perlu tiga kali, memadai telah yakin air telah meratai seluruh badan dari kepala ke hujung jari.

Untuk wanita pula, oleh kerana rambut wanita lebih panjang, maka disunatkan diuraikan rambut. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul hendaklah dibuka untuk membolehkan air sampai.

Seseorang itu elok memakai kain hingga ke lutut ketika mandi seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

 

Sumber: tanyalahustaz58.blogspot.com

Leave a Comment