ISLAMIK

Budaya Memberi Duit Pada Hari Raya Apakah Hukumnya?

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah wajib bagi kita memberi duit raya sempena Aidilfitri yang bakal menjelma nanti? Apakah ia merupakan tradisi yang diamalkan sejak dahulu lagi dan hukumnya pula bagaimana?

Budaya Memberi Duit Raya

Kami berpandangan, konsep memberi duit raya kepada ibubapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam. Bahkan perbuatan sedekah kepada ibubapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.

Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‎إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ

Maksudnya : Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.
Riwayat Al-Bukhari (56)

Isu Tasyabbuh
Berkaitan dengan isu tasyabbuh (penyerupaan) di antara duit raya dengan ang pow yang diberikan semasa perayaan kaum Cina, kami melihat bahawa tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh di antara keduanya. Ini kerana pemberian duit raya ada asasnya di sisi Islam iaitu termasuk dalam kategori sedekah yang sunat hukumnya. Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini. Adapun berkenaan penggunaan sampul raya, maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah fekah ;

‎الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة

Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus.

Kesimpulan
Setelah kami mengemukakan beberapa nas dan hujahan berkaitan isu ini, maka kami menyatakan bahawa pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya. Ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung.

Begitu juga kami cadangkan beberapa dhawabit seperti berikut:

• Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
• Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
• Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.

Akhir kalam, semoga penulisan ini memberikan pencerahan secukupnya kepada sesiapa yang membacanya. Ameen.

Sumber : muftiwp.gov.my

Leave a Comment