ISLAMIK

Niat Puasa 6 Syawal & Puasa Ganti (Qadha’)

NIAT PUASA 6 DI BULAN SYAWAL (DAN NIAT GABUNG PUASA GANTI)

Walaupun bulan Syawal sudah menjelma, suasana Ramadhan yang penuh keberkatan masih dirindui.

Sebagai umat Islam, ibadah puasa kita tidak hanya terhenti sebaik Ramadhan berakhir, malah kita digalakkan untuk puasa 6 pada bulan Syawal.

Jangan terlalu seronok beraya sampai terlepas peluang untuk merebut kelebihan puasa 6.

Seperti puasa bulan Ramadhan, puasa 6 juga hanya datang setahun sekali.

Jadi, di sini kami kongsikan niat puasa 6, kelebihannya serta cara niat gabung puasa 6 dengan puasa qadha’ (ganti).

Kelebihan Puasa Enam Syawal

Ibadah puasa selama 6 hari pada bulan Syawal hukumnya sunat dilakukan.

Menurut Koleksi Mutiara Hadith daripada JAKIM, disebutkan antara kelebihan puasa enam adalah seperti berikut.

Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 1164)

Menurut Imam Nawawi, Hadis di atas jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam alSyafi‟e, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Niat Puasa 6

نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِنَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى

Bacaan Rumi : Nawaitu souma ghodin ‘an sittatin min syawwalin sunnatan lillahi taala

“Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari Syawal kerana Allah Ta’ala”

Niat Gabung Puasa 6 Dan Puasa Ganti (Qadha)

Cara lafaz niat bagi puasa ganti (wajib) dan puasa-puasa sunat yang digabungkan:

“Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Taala.”

Cara Melakukan Puasa Sunat Enam

Paling afdal adalah secara berturut-turut:

Sebaiknya bermula 2 Syawal sehingga 7 Syawal. Contohnya, jika Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei, maka bolehlah berpuasa enam mulai 14 Mei sehingga 19 Mei (7 Syawal).

Berpuasa secara berselang-seli:

Berpuasa sama ada selang sehari, selang dua atau tiga hari sekali, selama enam hari dalam bulan Syawal.
Boleh juga dilakukan dalam mana-mana hari dalam bulan Syawal.

Hukum Menggabungkan Niat Puasa 6 Syawal Dengan Puasa Ganti

Hukum menyatukan puasa qadha’ dengan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal atau hari-hari lain yang disunatkan berpuasa adalah harus dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya,

namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seseorang yang telah menyempurnakan puasa sepenuhnya daripada sebulan Ramadhan.

Dalam masa yang sama, menyegerakan qadha’ puasa itu adalah amalan yang terpuji dan dituntut oleh syarak kerana pahala ibadah puasa tersebut hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui dan akan memberikan ganjarannya.

Oleh itu, amalan berpuasa sunat ini amat digalakkan oleh setiap Muslim sebagai rutin dan kelaziman kerana berpuasa itu akan memelihara seseorang daripada segala sifat keji dan mungkar, mendorong untuk mengerjakan amalan kebaikan yang lain serta dapat menampung kekurangan daripada puasa wajib yang telah dilakukan.

Rebutlah kelebihan Syawal dan bersegeralah tunaikan puasa 6 secepat mungkin. Sesuai dengan Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 133, yang bermaksud

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

Sumber : harianpost.my

Leave a Comment