HOME

Persediaan Sebelum & Selepas Suntikan Vaksin COVID-19

Dengan kehadiran vaksin COVID-19 di Malaysia, terdapat pelbagai persoalan tentang vaksin COVID-19 yang berlegar-legar di dalam minda setiap rakyat.

Normal sebagai seorang manusia untuk rasa curiga pada perkara yang baru dan mungkin rasa ketakutan pada apabila kurang jelas pada pemahaman vaksin ini.

Untuk pengetahuan anda, vaksin COVID-19 ini layak diterima oleh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit COVID-19.

Menerima vaksin ini adalah sama seperti menerima vaksin untuk penyakit lain yang sedia ada di Malaysia ini.

Ikuti artikel ini untuk mengetahui proses suntikan vaksin dan semoga anda akan menjalaninya dengan mudah dan lancar.

Sebelum Menerima Suntikan Vaksin COVID-19

Antara perkara pertama yang anda perlu lakukan sebelum menerima suntikan vaksin COVID-19 adalah mengemaskini maklumat anda di dalam aplikasi MySejahtera atau di laman web MOH Vaksin COVID-19.

Pastikan anda telah menjawab kesemua soalan penilaian di dalam aplikasi MySejahtera.

Anda juga perlu membaca dan memahami Borang Persetujuan Menerima Vaksin COVID-19 di aplikasi MySejahtera.

Sebelum menerima suntikan, petugas kesihatan akan memberikan penerangan tentang vaksin ini dan dan anda perlu menandatangani Borang Persetujuan Menerima Vaksin COVID-19 di hadapan petugas kesihatan.

Prosedur yang perlu dilakukan sebelum menerima vaksin pada hari temu janji adalah untuk mengenal pasti jika anda layak atau tidak untuk menerima vaksin.

Antara syarat tidak layak untuk menerima vaksin adalah:

1. Mempunyai sejarah kemasukan hospital disebabkan alahan yang teruk

2. Mempunyai sejarah reaksi alahan pada mana-mana vaksin yang pernah diterima sebelum ini

3. Pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi dan radioterapi

4. Pesakit yang menghidapi penyakit HIV

5. Ibu yang sedang hamil atau merancang kehamilan

6. Ibu yang sedang menyusukan anak

7. Individu yang sedang demam disebabkan jangkitan virus atau bakteria

8. Individu yang mempunyai masalah sel darah putih yang rendah

Sebelum itu, pastikan anda datang pada pusat pemberian pada tarikh yang ditetapkan dan pastikan anda membawa kad pengenalan dan telefon bimbit yang mempunyai aplikasi MySejahtera.

Warga emas dan orang kurang upaya digalakkan datang bersama pengiring.

Semasa Menerima Suntikan Vaksin

Pastikan anda mematuhi temujanji suntikan vaksin ada seperti yang telah dijadualkan.

Beritahu pegawai bertugas sekiranya anda tidak sihat pada hari penerimaan vaksin.

Sekiranya perlu, temujanji vaksin anda mungkin akan ditunda sehingga anda sihat.

Untuk memudahkan proses suntikan vaksin COVID-19,

anda disarankan untuk memakai pakaian yang sesuai seperti baju berlengan pendek ataupun baju lengan panjang yang longgar dan boleh dilipat hingga ke pangkal lengan.

Suntikan vaksin COVID-19 ini akan diberikan di bahagian bahu penerima.

Bahagian yang akan disuntik akan disapukan dengan alcohol swab untuk membersihkan bahagian suntikan tersebut daripada kuman yang boleh menjangkiti anda sewaktu suntikan.

Petugas kesihatan akan mencucuk picagari ke dalam bahu dan memberikan suntikan dan menampalkan plaster dibahagian yang disuntik apabila selesai.

Penerima suntikan akan diminta untuk berada di ruang pemerhatian selama 15 hingga 30 minit selepas menerima suntikan.

Selepas Menerima Suntikan Vaksin COVID-19

Antara persoalan yang mungkin muncul di fikiran anda adalah apakah yang perlu dilakukan selepas menerima vaksin COVID-19?

Selepas menerima vaksin COVID-19, anda akan berada di ruang pemerhatian sekurang-kurangnya 15 minit untuk melihat status kesihatan anda supaya anda tidak mengalami kesan sampingan vaksin seperti:

1.Sukar untuk bernafas

2.Jantung berdegup laju

3.Bahagian suntikan menjadi bengkak

4.Bengkak pada muka, bibir atau tekak

5.Pembentukan ruam di seluruh badan

6.Rasa pening

Jika anda mengalami gejala-gejala disenaraikan di atas selepas menerima suntikan,

anda perlu memaklumkan kepada petugas kesihatan dengan segera untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimana Cara Untuk Membezakan Seseorang Telah Menerima Vaksin?

Selepas anda menerima suntikan, anda akan diberikan kad vaksinasi.

Anda perlu menyimpan kad vaksinasi ini kerana ia adalah penting untuk mengesan bahawa anda telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Kad ini diperlukan bila tiba masa untuk menerima dos kedua vaksin COVID-19.

Selain kad, anda boleh menggunakan perisian MySejahtera untuk mengetahui maklumat vaksinasi anda seperti tarikh vaksin, nama vaksin dan kod rujukan vaksin.

Mengapa Ada Kesan Sampingan?

Di dalam bidang perubatan, setiap rawatan atau ubat mempunyai kesan sampingan tetapi tidak bermakna rawatan tersebut tidak selamat, sama seperti vaksin COVID-19 ini.

Walaupun vaksin COVID-19 telah dilaporkan mempunyai beberapa kesan sampingan, ia selamat digunakan kerana kesan sampingan yang boleh berlaku tidak membahayakan nyawa seseorang.

Vaksin ini telah diluluskan oleh FDA atau Food & Drug Administration yang bertanggungjawab dalam mengawal proses dan keselamatan penciptaan vaksin ini untuk kegunaan manusia di seluruh dunia.

Vaksin ini juga melalui proses saringan keselamatan oleh organisasi di negara kita sendiri iaitu NPRA (National Pharmaceutical Regulatory Agency).

Vaksin ini didapati hanya mempunyai kesan sampingan yang bersifat ringan dan sementara.

Menurut CDC, kesan sampingan vaksin COVID-19 biasanya berlaku dalam tempoh 7 hari selepas suntikan.

Sekiranya anda mengalami kesan sampingan seperti kemerahan atau kesakitan di tempat disuntik semakin teruk dalam masa 24 jam,

anda disarankan untuk menghubungi petugas kesihatan anda.

Pihak CDC juga amat menyarankan untuk mendapatkan dos kedua vaksin walaupun anda mengalami kesan sampingan sewaktu dos pertama melainkan doktor atau petugas kesihatan menyatakan anda tidak layak untuk menerima dos kedua atas sebab-sebab tertentu.

Adakah Perlu Mengamalkan Norma Baru Selepas Menerima Vaksin COVID-19?

Kemungkinan ini adalah persoalan yang sering diajukan oleh orang ramai.

Adakah dengan kehadiran vaksin ini, rakyat Malaysia boleh hidup seperti sebelum pandemik?

Masih terlalu awal untuk kita mengetahui sama ada vaksin ini dapat mencegah penyebaran virus COVID-19 walaupun terdapat vaksin yang boleh memberi pelindungan sehingga 95%.

Vaksin ketika ini adalah bertujuan untuk mengelakkan kemungkinan gejala jangkitan serius, kebolehjangkitan atau penyebaran virus ini selepas suntikan vaksin masih dalam pemerhatian.

Oleh itu, walaupun telah menerima vaksin COVID-19, anda masih perlu mematuhi SOP dan mengamalkan langkah pencegahan seperti memakai topeng muka, membasuh tangan dan menjaga penjarakan sosial.

Sumber : doctoroncall.com

Leave a Comment