ISLAMIK

Bagaimanakah caranya Rasulullah ﷺ turun untuk sujud ketika solat? Adakah Baginda ﷺ mendahulukan kedua tangannya atau kedualututnya?

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.

Sujud merupakan salah satu rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak dinamakan ianya sebagai solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ianya tidak dinamakan sebagai sujud. Pensyariatan sujud telah sabit di dalam Al-Quran, hadith dan ianya juga adalah ijmak para ulama’.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱرۡكَعُواْ وَٱسۡجُدُواْۤ وَٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمۡ وَٱفۡعَلُواْ ٱلۡخَيۡرَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

(Al-Hajj: 77)

Dalam sebuah hadith riwayat Al-Bukhari, telah masuk ke dalam masjid seorang lelaki dan kemudiannya telah solat namun telah ditegur oleh Nabi ﷺ bahawa solatnya tidak sah dan Baginda ﷺ menyuruh lelaki tersebut untuk mengulangi solatnya. Ianya berlarutan sehingga Nabi ﷺ menegurnya sebanyak tiga kali dan akhirnya lelaki tersebut meminta  Nabi ﷺ untuk mengajarnya solat. Sabda Nabi ﷺ di dalam sebahagian hadith tersebut:

…ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “…kemudian sujud (dengan toma’ninah), kemudian angkatlah kepala mu dan duduk dalam keadaan toma’ninah kemudian sujud (buat kali kedua juga dalam keadaan toma’ninah)…”

Riwayat Al-Bukhari (6667)

Begitu juga telah berlaku ijmak dikalangan muslimin dari kalangan salaf dan khalaf dan tidak ada siapapun yang mengingkarinya.

 

Kaifiat Sujud

Nas-nas menunjukkan bahawa sujud telah sabit di dalam Al-Quran, hadith dan juga ijmak. Namun, terdapat beberapa pandangan yang berbeza mengenai kaifiat sujud di dalam solat dan ianya terdapat di dalam perbahasan fiqh. Antara perkara yang menjadi khilaf dikalangan para ulama’ adalah sifat ketika ingin turun sujud, adakah perlu diturunkan kedua tangan dahulu ataupun kedua lutut?

Di dalam permasalahan ini, terdapat dua pendapat yang masyhur:

#Pertama: Hendaklah mendahulukan kedua lutut dahulu kemudian barulah kedua tangan. Ini merupakan pendapat mazhab al-Hanafiah, al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah.

#Kedua: Hendaklah mendahulukan kedua tangan dahulu kemudian barulah kedua lutut. Ini pula merupakan pendapat mazhab al-Imam Malik, al-Imam al-Auza’ie dan juga salah satu dari pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahumullah.

 

Perbahasan Dalil Bagi Pendapat Pertama

Mereka yang berpegang dengan pendapat ini berdalilkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Wa’il bin Hujr RA:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم إِذَا سَجَدَ وَضَعَ رُكْبَتَيْهِ قَبْلَ يَدَيْهِ وَإِذَا نَهَضَ رَفَعَ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ

Maksudnya: Aku telah melihat Nabi ﷺ ketika ingin sujud, Baginda ﷺ meletakkan kedua lututnya sebelum kedua tangannya dan ketika ingin bangun dari sujud mengangkat kedua tangannya sebelum kedua lututnya.

Riwayat Abu Daud (838), Al-Tirmizi (268)[1], Al-Nasa’ie (1089) & Ibn Majah (882).

Namun, mengenai hadith di atas, telah berkata al-Imam al-Daraqutni Rahimahullah: “Telah bersendiri dengannya Yazid daripada Syarik dan tidak ada seorangpun berkata dengannya daripada ‘Asim bin Kulaib selain daripada Syarik dan Syarik pula tidaklah qawiy (kuat) kerana telah bersendiri”. Daripada inilah menyebabkan Syeikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah mendhaifkan hadith ini dan perbahasan mengenainya secara panjang lebar bolehlah merujuk kitabnya, Silsilah al-Ahadith al-Dho’ifah wa al-Maudhu’ah.

Seterusnya juga berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا سَجَدَ بَدَأَ بِرُكْبَتَيْهِ قَبْلَ يَدَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi ﷺ ketika sujud memulakan dengan kedua lututnya sebelum kedua tangannya”.

Syarh Ma’ani al-Athaar li al-Tahawi (1516) & Qurratu al-‘Ainayn bi Raf’i al-Yadayn fi al-Solah li al-Bukhari (54)

 

Seterusnya dalam sebuah hadith yang lain:

كُنَّا نَضَعُ الْيَدَيْنِ قَبْلَ الرُّكْبَتَيْنِ، فَأُمِرْنَا بِالرُّكْبَتَيْنِ قَبْلَ الْيَدَيْنِ

Maksudnya: “Adalah kami meletakkan kedua tangan sebelum kedua lutut, maka diarahkan kepada kami meletakkan dua lutut sebelum kedua tangan”.

Sahih Ibn Khuzaimah (628), al-Sunan al-Kubra li al-Baihaqi (2637), Ma’rifah al-Sunan wa al-Athaar li al-Baihaqi (3501) & Syarh al-Sunnah li al-Baghawi (643).

Adapun hadith di atas, terdapat kritikan ulama’ hadith terhadapnya di mana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Ismail bin Yahya bin Salamah dan beliau adalah matruk (yang ditinggalkan riwayatnya). (Lihat Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal. Muassasah al-Risalah, 3/213)

 

Terdapat juga athar perbuatan daripada Umar RA dengan sanad yang sahih:

حَفِظْنَا عَنْ عُمَرَ فِي صَلَاتِهِ أَنَّهُ خَرَّ بَعْدَ رُكُوعِهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ كَمَا يَخِرُّ الْبَعِيرُ وَوَضَعَ رُكْبَتَيْهِ قَبْلَ يَدَيْهِ

Maksudnya: “Telah kami hafal daripada Umar di dalam solatnya yang mana beliau turun (tersungkur) selepas rukuk di atas kedua lututnya sepertimana turunnya unta dan meletakkan kedua lututnya sebelum tangannya.”

Riwayat al-Tahawi di dalam Syarh Ma’ani al-Athaar (1528)

Berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan di atas, kita akan melihat daripadanya timbul pendapat para ulama’ mengenai permasalahan ini. Antara ilmuan Islam yang menyebutkannya:

Al-Imam al-Syafi’e (wafat 204H) Rahimahullah telah berkata: “Dan aku sukai untuk memulakan (solat) dengan bertakbir kemudian turun untuk sujud dan menjadikan anggota pertama yang mencecah tanah adalah kedua lutut kemudian kedua tangannya, kemudian wajahnya…”. (Lihat al-Umm. Dar al-Ma’rifah, 1/136)

Al-Imam al-Khattabi (wafat 388H) Rahimahullah telah berkata: “Telah berbeza pendapat di dalam masalah ini dan kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa meletakkan kedua lutu dahulu sebelum kedua tangan kerana ianya lebih mudah untuk mereka yang solat, lebih kemas bentuk perbuatannya dan juga cantik pada pandangan mata.” (Lihat Ma’alim al-Sunan. Al-Matba’ah al-‘Ilmiyyah, 1/208)

Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) Rahimahullah mengatakan: “Adalah mazhab kami, sunat untuk mendahulukan kedua lutut ketika sujud kemudian kedua belah tangan kemudian dahi dan barulah hidung…” (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 3/421)

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) Rahimahullah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’aad juga berpendapat bahawa didahulukan kedua lutut ketika ingin sujud kemudian barulah kedua belah tangan. (Lihat Zaad al-Ma’aad. Muassasah al-Risalah, 1/215)

 

Perbahasan Dalil Bagi Pendapat Kedua

Pendapat kedua mengatakan bahawa jika ingin sujud maka didahulukan kedua tangan kemudian kedua lutut. Dalil yang digunakan adalah sepotong hadith riwayat Abu Daud:

إِذَا سَجَدَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَبْرُكْ كَمَا يَبْرُكُ الْبَعِيرُ وَلْيَضَعْ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ

Maksudnya: Jika sujud salah seorang dari kalian, janganlah turun sepertimana turunnya unta dan diletakkan kedua tangan sebelum kedua lutut.

Riwayat Abu Daud (840) & Sunan al-Darimi (1360)

Hadith di atas telah dibincangkan oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’aad di mana beliau berpendapat bahawa hadith Abu Hurairah RA di atas, padanya terdapat wahm pada riwayatnya. Bahagian awal hadith terdapat percanggahan dengan bahagian akhirnya. Ini kerana, jika hadith mengatakan jangan turun untuk sujud sepertimana turunnya unta, maka kita dapati bahawa sesungguhnya unta apabila ingin turun maka unta akan mendahulukan  tangannya (bahagian depan) seolah-olah hadith di atas saling berlawanan. Seterusnya al-Imam Ibn al-Qayyim mengatakan bahawa hadith Abu Hurairah RA tersebut telah berlaku inqilab (tertukar pada matannya) pada sebahagian periwayatan matannya dan asalnya yang mana boleh jadi sebenarnya hadith tersebut ingin mengatakan “dan meletakkan kedua lututnya sebelum kedua tangannya”. (Lihat Zaad al-Ma’aad. Muassasah al-Risalah, 1/217-218)

Seterusnya terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma yang mana beliau meletakkan kedua tangannya terlebih dahulu ketika sujud dan telah berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُ ذَلِكَ

Maksudnya: Adalah Rasulullah ﷺ melakukan sebegitu (meletakkan kedua tangan dahulu sebelum kedua lututnya)

Sahih Ibn Khuzaimah (627). Syeikh al-Albani mengatakan: Sanadnya sahih dan disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

 

Kesimpulan

Melihat kepada kedua-dua pendapat, kami katakan di sini bahawa isu samaada ingin turun tangan ataupun lutut terlebih dahulu adalah permasalahan khilaf yang muktabar yang padanya terdapat dalil-dalil serta pendapat para ulama’ yang digunakan bagi menyokong kedua-dua pendapat.

Ini jelas apabila al-Imam al-Nawawi Rahimahullah sendiri menyebutkannya di dalam Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab yang mana beliau menyebut: “tidak jelas tarjih bagi salah satu mazhab di dalam permasalahan ini dari aspek sunnah”, kemudian beliau mendatangkan kedua-dua pendapat di dalam permasalahan ini beserta dengan dalilnya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 3/421)

Begitu juga dengan pendapat Syeikh Abd al-Aziz Marzuq al-Tarifi Hafizahullah di awal perbincangan mengenai permasalahan ini di dalam kitabnya Sifat Solat al-Nabi, yang mana beliau mengatakan: “Adapun dalam al-marfu’ (mengenai keadaan hadith-hadith di dalam permasalahan ini), tidak satupun yang sabit padanya”.

Kami nukilkan di sini pendapat daripada Syeikh Abd al-Aziz Marzuq al-Tarifi Hafizahullah yang mana setelah beliau membincangkan permasalahan ini di dalam kitabnya, Sifat Solat al-Nabi lantas mengatakan di akhir perbincangan: “Para ulama’ terhadap permasalahan ini panjang perbahasannya dan orang yang menunaikan solat boleh memilih apa yang sesuai dengan keadaannya (samaada ingin mendahulukan kedua lutut kemudian kedua tangan atau sebaliknya). Itulah yang paling utama. Sebahagian manusia ada yang bertubuh besar, ada juga yang berbadan kecil maka bolehlah dipilih mana yang memudahkan mereka. Oleh itu, dalam hal ini tidak sahih suatupun yang marfu’ padanya”. (Lihat Sifat Solat al-Nabi. Maktabah Dar al-Minhaj, hlm. 130)

Kami juga berpendapat bahawa mereka yang solat boleh memilih diantara dua pendapat yang telah dinukilkan seperti di awal perbincangan dan bagi kami keduanya boleh diamalkan. Berkeras di dalam hal ini dengan mengatakan hanya satu pendapat sahaja yang betul dan wajib mengikutinya serta mengatakan solat orang lain tidak sah adalah pendapat yang ekstrim yang mana boleh menutup pintu-pintu serta ruang perbincangan ilmiah.

Adapun para ulama’ yang telah berbeza pendapat di dalam permasalahan ini, mereka telahpun berijtihad dan ijtihad mereka itu bukanlah ijtihad yang kosong tanpa memerah keringat untuk memahami nas dan seharusnya mereka diberikan kredit di atas usaha yang telah dilakukan. Jika benar dan tepat ijtihadnya, maka mereka mendapat dua pahala dan jika mereka tersilap hanya mendapat satu pahala sahaja sesuai dengan sabda Nabi ﷺ:

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ، فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ، فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: Jika menghukum seorang hakim dan dia telah berijtihad, jika benar (apa yang diijtihadkan) baginya dua ganjaran. Jika dia mengeluarkan hukum dan dia telah berijtihad kemudian tersalah (ijtihadnya), baginya hanya satu ganjaran.

Riwayat Al-Bukhari (7352) & Muslim (1716)

 

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

 

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

10 Mei 2016 bersamaan 3 Sya’ban 1437H

 

[1] Diakhir hadith, telah berkata al-Imam al-Tirmizi Rahimahullah: “Hadith ini adalah hasan gharib. Kami tidak mengetahuinya seseorangpun yang meriwayatkannya sepert hadith tersebut daripada Syarik. Adapun pengamalan keatasnya pada kebanyakan ahli ilmu iaitu seseorang meletakkan kedua lututnya terlebih dahulu dari kedua tangannya dan ketika bangkit, mengangkat kedua tangan dahulu sebelum kedua lutut. Hammam meriwayatkannya daripada ‘Asim secara mursal dan tidak menyebut Wa’il bin Hujr”.

 

Sumber: http://muftiwp.gov.my

Leave a Comment